Sunday 29 November 2015

6 sebab muzik hebat untuk anak.


BAGAIMANA MUZIK MEMBANTU PERKEMBANGAN ANAK?  

Kanak-kanak dan muzik adalah gabungan semula jadi yang amat hebat. Kanak-kanak secara fitrahnya berminat dengan muzik. Dan mereka mudah belajar untuk memahami dan mengingati sesuatu apabila dimasukkan unsur muzik seperti nyanyian dan gerakan irama.

Tahukah anda apa kepentingan muzik kepada kanak-kanak?

1. Muzik adalah salah satu bahan bantu mengajar yang efektif untuk mengajar kosa kata baru atau satu perkara baru kepada kanak-kanak.

2. Elemen muzik yang berirama membantu otak kanak-kanak mudah mengingat sesuatu huruf, kata kunci, kosa kata atau ayat mudah.

3. Muzik membolehkan kanak-kanak menyampaikan perasaan dan emosinya dengan baik. Tidak semua kanak-kanak mampu menyatakan perasaan yang sedang dialami. Muzik mampu membantu anak menyatakan perasaan gembira, sedih, marah dan sebagainya.


4. Muzik selalu digunakan untuk meningkatkan kemahiran mendengar kanak-kanak. Contohnya, kanak-kanak belajar untuk mendengar dan memahami arahan, seterusnya boleh mengikut arahan yang diberi. 


5. Kanak-kanak diajar lagu “Mari mengemas @ Clean up time” sewaktu mengemas. Lagu ini mampu bertindak sebagai motivasi atau rangsangan kepada kanak-kanak untuk ceria mengemas.                                                                                                                                                                                                                                                               
6. Muzik boleh digunakan untuk melatih kreativiti dan imaginasi anak-anak. Anda boleh memasang muzik atau alunan zikir dan berikan anak ruang dan peluang untuk berkreatif dan berimaginasi. Pasti anda akan teruja melihat hasil kreativiti anak. Anak yang selalu diberi ruang meneroka dalam suasana ceria dan berirama mampu meningkatkan daya  kreativiti ke tahap tertinggi dan mereka matang dan mampu menyelesaikan cabaran dengan mudah. 

Selari dengan kata-kata pakar kanak-kanak, Rae Rica dalam artikel beliau tentang anak-anak, muzik dan kreativiti "When children can imagine, they can envision solutions to problems. They can imagine what it’s like to be someone or something else, which helps develop empathy. They can find answers to the question, “What if?"...".                                                               

Anak-anak yang diberi dorongan, ruang dan peluang untuk menikmati muzik dan kreativiti akan menjadi anak yang matang, mudah menyelesaikan cabaran dan sentiasa suka meneroka sehingga dewasa.


6 Tips memilih alat permainan terbaik untuk anak.

Bermain adalah pekerjaan serius anak-anak. Semasa anak-anak bermain mereka sebenarnya sedang menyelesaikan tugasan yang akan meningkatkan kemahiran berfikir, menguatkan dan meningkatkan kemahiran motor halus dan kasar, membantu mereka bersosial dan adab dalam berkawan.




Alat permainan adalah objek pembelajaran anak-anak yang penting.Mereka cepat dan mudah belajar apabila mereka boleh memegang, merasa, melihat dan mendengar alatan tersebut. 

Memilih alat permainan terbaik adalah penting supaya alatan tersebut mampu digunakan secara optimum dalam membantu anak mencapai tahap tertinggi dalam penerokaannya. Betapa peri pentingnya memilih permainan mengikut tahap keupayaan dan perkembangan anak-anak. Ini kerana setiap anak mempunyai tahap keupayaan yang berbeza. Mereka adalah unik dan berbeza. 


Permainan anak-anak terbahagi kepada beberapa jenis. 
1. Alatan permainan replika
2. Alatan permainan pendidikan
3. Alat permainan membina
4. Alat permainan motor kasar
5. Alat permainan berperaturan
6. Alat permainan untuk lakonan dan drama

Tips bagi menentukan permainan berkualiti dan terbaik untuk anak adalah: 

1. Bersesuai dengan objektif pembelajaran
- Sebelum membeli permainan, pastikan ada tahu apakah objektif yang anda ingin anak capai apabila bermain permainan tersebut. Ini penting bagi memastikan anak mendapat manfaat ketika bermain.Tambahan, kesesuaian dengan objektif membantu anak mengenalpasti apakah kemahiran yang ingin anda tingkatkan dan kukuhkan untuk anak-anak. 


2. Selamat untuk digunakan
- Memilih permainan adalah sepenting menyediakan persekitaran yang selamat untuk anak. Pastikan anda membaca label dan memastikan bahan-bahan yang disediakan adalah mesra anak. Mesra anak adalah permainan tidak mengandungi bahan beracun dan tidak terlalu kecil sehingga anak boleh menelan. Anak-anak suka merasa permainan mereka. Oleh itu, pastikan ianya selamat untuk mereka.



3. Tahan lama dan mudah diselenggarakan.
- Kualiti permainan juga perlu diletakkan keutamaan ketika membeli. Anda pasti mahu permainan yang dibeli boleh digunakan dalam jangka masa yang lama. Mudah disimpan dan digunakan semula juga penting bagi memudahkan anak bermain. 



4. Berbentuk menarik
- Permainan ini mampu menarik minat anak untuk terus bermain dengannya. Selain itu, ia mudah menceriakan anak-anak ketika bermain.


5. Sesuai dengan tahap dan perkembangan anak-anak
- Pastikan anda membaca penerangan pada kotak permainan atau boleh bertanya terus kepada penjual tentang tahap dan kesesuaian permainan dengan umur anak anda. 


6. Permainan yang kreatif, kritis dan inovatif. 
- Memilih permainan yang mampu meningkatkan kreativiti, imaginasi dan inovasi adalah salah satu ciri terpenting. Melatih anak sedari kecil yang sememangnya kreatif untuk bebas meneroka dan mengembangkan idea mereka dengan nyaman dan gembira adalah titik permulaan membentuk minda cerdas. Anak pasti teruja melihat anak mudah menyelesaikan banyak cabaran dan berfikiran matang. 

KidKraft

Menyediakan permainan yang terbaik dan selamat untuk anak adalah sepenting menyediakan persekitaan yang selamat dan bermakna untuk mereka. Menyediakan permainan terbaik untuk anak adalah pelaburan yang menguntungkan untuk anda dan anak.


~ Teacher Mona 2015~




Monday 2 November 2015

7 SEBAB ANAK SUKA KE TADIKA

Seronoknya apabila anak suka dan teruja ke tadika walaupun tidak sihat. Anak-anak yang suka ke tadika adalah anak-anak yang ceria, rasa disayangi dan dihargai. Mereka sentiasa tertunggu-tunggu hari persekolahan , suka bertanya bila waktu sekolah bermula, dan pandai bangun pagi sendiri tanpa perlu dikejutkan. 

Keceriaannya terserlah apabila sampai ke tadika dan disambut dengan wajah manis gurunya. Mereka terus mencari rakan, bermain, bergurau dan bercerita. Itulah gambaran anak-anak yang ceria dan seronok ke tadika.

Ada 7 sebab mengapa anak suka ke tadika

1. Guru
Guru adalah aset terpenting tadika. Mereka adalah pengerak acara dan aktiviti harian tadika. Guru yang ceria, sabar dan penyayang akan disukai dan disenangi anak-anak. Guru -guru ini rajin melayani anak, tidak melabel dan menerima mereka seadanya. Anak-anak punyai aura kasih sayang dan mereka kenal siapa guru penyayang dan siapa guru garang.

2. Suasana Tadika
Tadika yang bagus adalah tadika yang mengiktiraf perkembangan holistik anak-anak. Anak-anak mempunyai tenaga berlebihan yang perlu dilepaskan dengan cara yang menyeronokkan dan selamat. Susun atur tadika yang lapang dan selamat membolehkan anak-anak berlari dan melakukan aktiviti fizikal dengan baik. Izinkan anak-anak lelaki bergerak dan bermain. Rancanglah aktiviti bermain yang membolehkan mereka berlari, melompat, merangkak dan sebagainya. Otak anak-anak cerdas dan aktif apabila diberi peluang bergerak sewaktu belajar.

3. Pendekatan
Bermain sambil belajar dan berpusatkan murid adalah antara pendekatan yang sangat BERKESAN untuk kanak-kanak. Rancang setiap aktiviti pembelajaran anak-anak dengan menggunakan pendekataan-pendekatan ini. Anda akan lihat betapa ceria dan seronoknya anak-anak belajar dan meneroka.

4. Bahasa Cinta
Setiap anak adalah insan unik dan mempunyai kelebihan tersendiri. Mereka juga mempunyai bahasa cinta yang tertentu. Anak-anak yang diiktiraf bahasa cintanya adalah anak-anak yang bahagia. Mereka dapat merasai kasih sayang dan penghargaan diri apabila guru memahami bahasa cintanya.  Belajarlah memahami keunikan dan bahasa cinta anak-anak. Anda akan mengenali bahasa cinta anda selepas itu.

5. Program
Program tadika yang TERBAIK haruslah memenuhi keperluan dan  perkembangan holistik anak-anak. Program harus disusun dan disesuaikan dengan gaya pembelajaran anak-anak masa kini. Pengusaha perlu bijak memilih dan merancang aktiviti - aktiviti yang akan dilaksanakan di tadika setiap tahun.

Terdapat banyak program yang bagus dan berkesan yang boleh anda pilih.  Program  pilihan tadika saya adalah program pembelajaran dari Ameen Educare. Program Ameen Educare terbaik kerana ianya amat mudah, memenuhi gaya pembelajaran anak-anak zaman kini, memenuhi fitrah dan sangat berkesan. 

6.Rakan Tadika
Anak-anak tidak datang ke sekolah dengan pakej lengkap seperti sudah pandai berkawan, bertolak ansur, bermain bersama-sama. Ada dikalangan mereka memerlukan sokongan guru bagi memulakan persahabatan. Tiada kawan di tadika antara fakor anak malas ke sekolah. 

Berkawan dan kawan penting bagi anak-anak. Mereka perlukan kawan untuk bermain, berkongsi minat, bercerita dan sebagainya. Guru memainkan peranan yang amat penting bagi membentuk sahsiah dan kasih sayang di kalangan mereka. Ajari anak-anak untuk belajar berkawan, bertolak ansur dan mudah mengucap terima kasih dan maafkan saya.

7.  Raikan Anak-anak syurga
Hati anak-anak melonjak ceria hingga 1000 kilometer dan lebih apabila kehadiran mereka disambut dengan senyuman mesra, ucapan selamat datang dan diberi pelukan kasih sayang atau tepukan high five. Cuba bayangkan anda ke kedai untuk membeli sesuatu dan kehadiran anda diberi sambutan penghargaan dengan senyuman yang mesra, diberikan layanan  first class.  Tentunya anda rasa diri amat berharga sehingga dilayan sebegitu rupa. Betul tak? begitulah perasaan anak-anak.  

Pernah saya dengar keluhan seorang ibu menceritakan tentang anaknya yang tidak suka ke tadika A kerana guru hambar, kelat, pahit,  dan tidak mesra.  Guru tidak mengendahkannya sewaktu dia sampai di tadika. Tiada sambutan kasih sayang dan senyuman. Ini membuatkan rasa teruja ke sekolah terencat di awal pagi.


Semoga anda PILIH betul-betul tadika yang ingin anda sekolahkan anak. Usah pilih tadika bersandarkan jenama dan hanya tanya-tanya rakan sekerja. Luangkan masa dan lihat sendiri bagaimana sambutan dan keadaan tadika. Lihat dan amati gaya guru-gurunya menyambut dan melayani anak-anak lain. Umur kritikal 0 -6 tahun anak-anak hanya sekali seumur hidupnya. Usah biarkan mereka sengsara dan terbawa-bawa ke alam dewasa.