Thursday 8 October 2015

Mari bercerita : Kisah Si Musang Perang

Seekor musang perang sedang bersembunyi di sebalik pokok-pokok hijau yang rimbun. Matanya bersinar memandang ke arah seekor ayam yang sedang sibuk menguis mencari makanan. Cacing dan ulat berjaya dicari. Wah! seronoknya si ayam. 

Si musang perang tersenyum dan berkata-kata di dalam hati. "Ha, ha, ha... nampaknya si ayam sibuk mencari makanan. Tentu dia tidak tahu aku bersembunyi disini", gelak sembunyi si musang perang.

"Tapi.. aku tak mahu mengejutkan si ayam itu selepas percubaan semalam tidak berjaya. 
Ha!, mungkin aku perlu melompat dan menerkam si ayam?... oh tidak, nanti si ayam terkejut. 
Mungkin aku boleh ucap salam berkenalan dan memeluk si ayam dengan kuat..
Atau... aku keluar dari rimbunan pokok ini sambil menari-nari dan bila sudah dekat dengan si ayam. Aku akan menangkap si ayam. Sedapnya hidangan sarapan pagi aku. Ha, ha, ha,", angan si musang sambil tertawa kecil. 

Lamanya si musang berangan-angan. Akhirnya si musang tersedar si ayam sedang memerhati si musang sambil tersenyum.

Hei kawan! Apa yang sedang kamu fikirkan sambil tergelak-gelak tu?  Tentu kamu mahu melompat dan menerkam aku kan? Kata si ayam dengan kuat.

Si musang perang terkejut. Dia terus tertawa sambil berkata " Oh, tidak.. aku hanya mahu berkawan dengan kamu si ayam. Bolehkah kita berkawan!", jerit si musang sambil tersenyum ramah.Tetapi senyuman si musang perang hanya menakutkan si ayam kerana di sebalik senyuman itu... ada gigi- gigi yang tajam.

Si ayam mengeleng-gelengkan kepalanya dan terus berlari dengan lajunya. Si musang cuba mengejar si ayam tetapi tidak berjaya.Si musang menyesal kerana banyak berangan-angan.

Nota:
  • Berceritalah kepada anak-anak dengan menggunakan props seperti gambar, puppets, anak patung, dan sebagainya. 
  •  Lakukankan penceritaan dengan gaya, mimik muka, suara yang pelbagai dan ceria. 
  •  Anak- anak tentu suka mendengar cerita anda. Apabila anak boleh bertanya dan menjawab soalan tentang cerita. 
  • Anda telah berjaya melatih anak untuk fokus dan mendengar kata- kata anda. 
Jom bercerita! 

Mengapa anak WAJIB dengar cerita?

Alam cerita adalah alam yang paling menyeronokkan bagi kanak-kanak. Kanak-kanak suka mendengar kisah dan cerita dari ibu bapa atau gurunya. Kanak-kanak menerokai sesuatu yang baru dan mengukuhkan sesuatu yang telah ada di mindanya dengan cerita. Pemilihan cerita adalah penting kerana setiap cerita mempunyai kesan tertentu yang boleh mengubah tingkah laku atau kepercayaan seseorang.

Jika inginkan kanak-kanak berjiwa halus dan berkasih sayang, banyakkan bercerita kisah-kisah teladan seperti kisah nabi dan para sahabat. Cerita sebegini mampu menyuburkan emosi yang penuh dengan cinta dan kasih sayang. Selain itu, cara yang terbaik bagi menyuburkan semangat membaca di kalangan kanak-kanak ialah melalui cerita. Kanak-kanak akan meminta guru atau ibu bapa membacakan cerita yang sama berulang kali jika mereka menyukai cerita tersebut.

Tips dan teknik menarik minat anak mendengar cerita:
1. Pilih buku cerita yang sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak.
2. Kuasai jalan penceritaan supaya sesi bercerita dapat dijalankan dengan lancar.
3. Pilih kosa kata yang sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak.
4. Gunakan pelbagai nada suara ketika bercerita.
5. Bijak mengawal keadaan ketika sesi penceritaan dijalankan.
6. Tanyakan soalan di akhir cerita untuk uji kefahaman.

Ibu bapa atau guru harus bijak mengadun cerita dengan pelbagai intonasi suara, mimik muka dan mampu memainkan ekspresi muka ketika bercerita. Bahasa badan, intonasi suara dan mimik muka penting bagi menarik perhatian kanak-kanak untuk terus mendengar cerita. Aktiviti selepas sesi bercerita penting kerana ia mampu menguji sejauh mana kanak-kanak faham dengan cerita tersebut,

Oleh itu, kanak-kanak perlu didedahkan dengan cerita yang mempunyai kisah teladan dan kaya dengan kosa kata yang pelbagai dan sesuai dengan peringkat usia mereka. Kanak-kanak yang minat mendengar cerita akan menguasai salah satu kemahiran membaca yang terpenting iaitu kemahiran mendengar. 

Bukan mudah untuk menarik minat kanak-kanak untuk terus mendengar cerita dalam keadaan senyap dan penuh perhatian. Ini kerana kanak-kanak mempunyai daya fokus yang rendah dan tidak suka duduk di satu tempat dalam masa yang lama. 

Semoga tips di atas membantu ibu bapa atau guru untuk terus bercerita kepada kanak-kanak.

9 TIPS BANTU ANAK MINAT MEMBACA

“Mama…tolong bacakan saya cerita ini..”  


Anda seharusnya gembira apabila diminta oleh anak untuk dibacakan cerita. Ini adalah petanda awal yang bagus bahawa anak suka dan minat dengan buku. Minat ini perlu disokong dan dibantu agar berterusan sehingga dewasa.Jika mahu anak suka membaca dan bijak membaca bahan-bahan bacaan yang berkualiti, ibu bapa perlu berusaha mencari dan menyediakannya di rumah.

Mulakan dengan…
  1. Membacakan bahan-bahan bacaan berkualiti sebagai aktiviti rutin setiap hari.
  2. Meluangkan masa dalam 5 – 8 minit setiap hari dan bacakan untuk mereka sedari kecil. Contohnya, bedtime story with mama @ papa.
  3. Berhenti sebelum jemu. Anda tidak perlu menghabiskan cerita dalam satu hari. Jadikan penceritaan menarik dengan menyambung cerita pada keesokan hari agar anak sentiasa teruja untuk mengetahui apa yang berlaku selepas itu.
  4. Pilih gambar-gambar ilustrasi yang cantik dan sesuai untuk kanak-kanak. Ada banyak buku cerita kanak-kanak yang mempunyai lukisan ilustrasi yang terpilih sebagai pemenang anugerah lukisan terbaik. Lukisan yang cantik mampu memberi inspirasi kepada anak-anak untuk berkreatif.
  5. Pilih cerita yang sesuai mengikut usianya dengan laras bahasa yang mudah.
  6. Tingkatkan kosa kata anak dengan memilih buku-buku yang laras bahasanya yang sedikit mencabar.
  7. Anda boleh mengulang-ulang cerita dan selalulah bertanya kepada anak tentang cerita seperti:
    – Apakah nama haiwan yang berbelang itu?
    – Namakan 3 nama bunga yang ada dalam cerita?
    – Cuba sebut 4 warna yang ada pada gambar ini
  8. Bertanyakan soalan di akhir cerita akan membantu anak untuk lebih faham dan tahu dengan lebih jelas tentang cerita yang dibaca.
  9. Tak kenal maka tak cinta. Jadi kenalkan anak dengan penulis, pelukis dan tajuk buku yang dibaca. Ini akan membantu anak anda untuk mempunyai minat membaca di awal usia. 

 Semoga anak anda terus menjadi penggemar setia buku sehingga dewasa. Jom baca!

Thursday 1 October 2015

9 TIPS BUAT SI “PICKY EATER”

Ramai parents yang mengeluh setiap kali ditanya tentang pemakanan anak. "Saya sudah cuba bermacam-macam cara, bagi makan dalam pinggan cartoon kesukaan anak, minta anak pilih sendiri sayur yang mereka mahu cuba, nasihat, marah, umpan kalau makan sayur.. nanti mama belikan mainan dan macam-macam lagi. Tapi anak tetap tak mahu makan sayur", keluh parents yang ditanya.

Anak yang memilih makanan ataupun picky eater sememangnya menjadi dilema buat para ibu bapa. Anak hanya makan sesetengah jenis makanan dan enggan menyentuh makanan lain. Ditambah pula dengan pilihan makanan si manja yang hanya ke arah makanan yang kurang berkhasiat. Makin bertambah pening untuk melayan kerenah mereka ini.

Ibu bapa jangan risau. Hari ini saya akan berkongsi 8 tips bagi si picky eater:

1. Jom masak bersama mama
Bagi kanak-kanak yang sukar makan makanan-makanan sihat seperti sayuran dan buah-buahan, pastikan anda merancang jadual memasak dan menghias makanan bersama kanak-kanak. Kanak-kanak suka dan mudah makan hasil masakan mereka.

2. Terokai pasar raya.
Bawa kanak-kanak ke pasar raya sedari kecil dan perkenalkan mereka dengan pelbagai jenis sayuran. Izinkan mereka sentuh, bau, dengar dan rasa makanan tersebut walaupun dalam kadar sedikit.
3. Makan bersama
 Makan sayuran dan buah-buahan bersama anak-anak. Walaupun anda juga tidak makan sayur, demi untuk mendidik pemakanan sihat dan kesukaan pada makanan-makanan yang baik untuk tubuh dan otak, anda perlu makan sayur bersama anak-anak. Tunjukkan kepada mereka. Lama-kelamaaan anda akan lihat perubahan yang positif dalam pemakanan anak-anak dan anda.

4. Cuba resepi baru dan pelbagaikan juadah.
Kanak-kanak juga seperti anda. Mudah berasa jemu dengan makanan dan menu yang sama. Cubalah resepi baru dalam mempelbagaikan sayuran dan buah-buahan.
Contohnya, cubalah resepi baru seperti smoothies buahan atau sayuran, hummus buahan atau sayuran selain kacang kuda dan lain-lain.

5. Hias makanan
 Kreativiti menghias makanan membolehkan kanak-kanak belajar seni keindahan, warna dan bentuk secara seronok. Hias makanan berkhasiat supaya nampak lazat di mata anak. Pelbagai contoh food art boleh dijadikan panduan untuk menghias makanan.



6. Sedikit lama-lama jadi bukit. 
Izinkan anak-anak mencuba makanan berkhasiat seperti sayur, buah-buahan dan sebagainya dalam jumlah yang sangat sedikit. Tambahkan sedikit demi sedikit dan usah tergesa-gesa memaksa anak memakan makanan tersebut dalam kuantiti yang banyak. Biarlah sedikit asalkan anak-anak tidak terasa seperti dipaksa dan terpaksa untuk makan. Ini hanya akan menyebabkan anak stress pada waktu makan. Pengalaman mencuba makanan berkhasiat pada usia kecil akan membantu anak untuk suka dengan makanan tersebut pada dewasa kelak.

7. Bersabar  dan konsisten
Bersabar dengan kerenah anak dan istiqamah dalam meneruskan teknik dan tips untuk bantu anak suka dan pilih untuk makan makanan berkhasiat. Bersabar bukan satu perkara yang mudah tetapi tindakan anda untuk memilih sabar dan istiqamah dalam mendidik anak suka pada perkara baik akan membuahkan hasil yang anda sendiri akan terkejut dan teruja.

8. Rutin yang menyeronokkan
Apabila kita mahu merutinkan sesuatu yang baik seperti makan makanan berkhasiat. Kita perlu sentiasa menjadikan rutin itu satu yang menyeronokkan dan disukai oleh anak. Jadikan waktu makan adalah waktu paling bahagia, suasana yang ceria dan penuh dengan kasih sayang. Situasi ini akan membuatkan anak-anak ceria dan tertunggu-tunggu waktu makan.

9. Bahasa cinta dan motivasi
 Anak mempunyai bahasa cinta yang berbeza dan mereka lebih mudah mengikuti segala nasihat, tunjuk ajar kita dengan mudah apabila mereka merasai kasih sayang dari anda.Belajarlah bahasa cinta anak-anak agar mereka rasa segala nasihat dan tunjuk ajar anda adalah tanda kasih sayang anda kepada mereka. Ingat, setiap anak adalah unik dan berbeza cara dan bahasa cintanya.



 Selamat mencuba!