Thursday 1 October 2015

9 TIPS BUAT SI “PICKY EATER”

Ramai parents yang mengeluh setiap kali ditanya tentang pemakanan anak. "Saya sudah cuba bermacam-macam cara, bagi makan dalam pinggan cartoon kesukaan anak, minta anak pilih sendiri sayur yang mereka mahu cuba, nasihat, marah, umpan kalau makan sayur.. nanti mama belikan mainan dan macam-macam lagi. Tapi anak tetap tak mahu makan sayur", keluh parents yang ditanya.

Anak yang memilih makanan ataupun picky eater sememangnya menjadi dilema buat para ibu bapa. Anak hanya makan sesetengah jenis makanan dan enggan menyentuh makanan lain. Ditambah pula dengan pilihan makanan si manja yang hanya ke arah makanan yang kurang berkhasiat. Makin bertambah pening untuk melayan kerenah mereka ini.

Ibu bapa jangan risau. Hari ini saya akan berkongsi 8 tips bagi si picky eater:

1. Jom masak bersama mama
Bagi kanak-kanak yang sukar makan makanan-makanan sihat seperti sayuran dan buah-buahan, pastikan anda merancang jadual memasak dan menghias makanan bersama kanak-kanak. Kanak-kanak suka dan mudah makan hasil masakan mereka.

2. Terokai pasar raya.
Bawa kanak-kanak ke pasar raya sedari kecil dan perkenalkan mereka dengan pelbagai jenis sayuran. Izinkan mereka sentuh, bau, dengar dan rasa makanan tersebut walaupun dalam kadar sedikit.
3. Makan bersama
 Makan sayuran dan buah-buahan bersama anak-anak. Walaupun anda juga tidak makan sayur, demi untuk mendidik pemakanan sihat dan kesukaan pada makanan-makanan yang baik untuk tubuh dan otak, anda perlu makan sayur bersama anak-anak. Tunjukkan kepada mereka. Lama-kelamaaan anda akan lihat perubahan yang positif dalam pemakanan anak-anak dan anda.

4. Cuba resepi baru dan pelbagaikan juadah.
Kanak-kanak juga seperti anda. Mudah berasa jemu dengan makanan dan menu yang sama. Cubalah resepi baru dalam mempelbagaikan sayuran dan buah-buahan.
Contohnya, cubalah resepi baru seperti smoothies buahan atau sayuran, hummus buahan atau sayuran selain kacang kuda dan lain-lain.

5. Hias makanan
 Kreativiti menghias makanan membolehkan kanak-kanak belajar seni keindahan, warna dan bentuk secara seronok. Hias makanan berkhasiat supaya nampak lazat di mata anak. Pelbagai contoh food art boleh dijadikan panduan untuk menghias makanan.



6. Sedikit lama-lama jadi bukit. 
Izinkan anak-anak mencuba makanan berkhasiat seperti sayur, buah-buahan dan sebagainya dalam jumlah yang sangat sedikit. Tambahkan sedikit demi sedikit dan usah tergesa-gesa memaksa anak memakan makanan tersebut dalam kuantiti yang banyak. Biarlah sedikit asalkan anak-anak tidak terasa seperti dipaksa dan terpaksa untuk makan. Ini hanya akan menyebabkan anak stress pada waktu makan. Pengalaman mencuba makanan berkhasiat pada usia kecil akan membantu anak untuk suka dengan makanan tersebut pada dewasa kelak.

7. Bersabar  dan konsisten
Bersabar dengan kerenah anak dan istiqamah dalam meneruskan teknik dan tips untuk bantu anak suka dan pilih untuk makan makanan berkhasiat. Bersabar bukan satu perkara yang mudah tetapi tindakan anda untuk memilih sabar dan istiqamah dalam mendidik anak suka pada perkara baik akan membuahkan hasil yang anda sendiri akan terkejut dan teruja.

8. Rutin yang menyeronokkan
Apabila kita mahu merutinkan sesuatu yang baik seperti makan makanan berkhasiat. Kita perlu sentiasa menjadikan rutin itu satu yang menyeronokkan dan disukai oleh anak. Jadikan waktu makan adalah waktu paling bahagia, suasana yang ceria dan penuh dengan kasih sayang. Situasi ini akan membuatkan anak-anak ceria dan tertunggu-tunggu waktu makan.

9. Bahasa cinta dan motivasi
 Anak mempunyai bahasa cinta yang berbeza dan mereka lebih mudah mengikuti segala nasihat, tunjuk ajar kita dengan mudah apabila mereka merasai kasih sayang dari anda.Belajarlah bahasa cinta anak-anak agar mereka rasa segala nasihat dan tunjuk ajar anda adalah tanda kasih sayang anda kepada mereka. Ingat, setiap anak adalah unik dan berbeza cara dan bahasa cintanya.



 Selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment