Friday 26 June 2015

Play Doh Terapi Deria.

Saya percaya ramai ibu bapa dan guru- guru menggunakan play doh sebagai salah satu aktiviti mesti ada di rumah dan di sekolah.Ramai juga yang beli play doh siap dan inilah yang paling mudah. Jimat masa,tenaga dan kurang kerja pembersihan.Tetapi, tahukah ibu bapa dan guru-guru betapa banyaknya kebaikan yang kanak-kanak akan dapat apabila mereka turut serta dalam pembikinan play doh.

Pakar terapi kanak- kanak juga menggunakan play doh sebagai salah satu elemen wajib ada dalam sesi mereka. Penggunaan play doh mampu membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah keyakinan diri, membantu kanak-kanak yang lambat atau kurang bercakap, membantu kanak-kanak untuk menjadi kreatif dalam menyelesaikan masalah dan banyak lagi.

Kanak-kanak amat teruja apabila mereka dapat bersama-sama anda melakukan aktiviti kesukaan mereka. Jadikan aktiviti membuat play doh sebagai satu acara wajib ada dalam aktiviti anda bersama anak-anak.

Selain itu, anda boleh berkreatif dengan menambah pelbagai bau, rasa, warna, dan tekstur bagi meningkatkan rangsangan dan perkembangan deria mereka. Permainan doh ini saya namakan 'Doh Terapi Deria'.

Mari mencuba beberapa resepi doh yang boleh dijadikan doh terapi deria dengan menambah bahan-bahan untuk terapi seperti bauan dan sentuhan. Anda boleh menambah bauan seperti bauan dari buah-buahan, rempah ratus, herba, bunga-bungan,  bauan aromaterapi yang sesuai, bauan minuman seperti kopi, coklat dan sebagainya. Contoh dari bauan rempah ratus - serbuk kayu manis, serbuk kunyit, serbuk kari, bunga lawang, jintan,  dan sebagainya.

Untuk terapi sentuhan, anda boleh menambah beberapa jenis biji-bijirin, kekacang,rempah ratus, dan sebagainya.


Resepi doh terapi 1(Doh lembut)
2 cawan tepung jagung
1 cawan perapi rambut (hair conditioner)
Pewarna makanan - jika perlu
1/2 sudu besar serbuk koko
* Tambahan tepung jagung jika adunan terlalu lembik.
* Tambahkan perapi rambut jika terlalu keras.

Caranya:
1. Masukkan 1 cawan perapi rambut ke dalam mangkuk dan titiskan pewarna makanan.
2. Gaul rata dan masukkan sedikit demi sedikit tepung jagung dan uli sehingga adunan membentuk seperti doh.
3. Masukkan 2 sudu besar serbuk koko
4. Teruskan menguli sehingga anda boleh membentuk bebola doh. Jika terlalu lembik, boleh masukkan sesudu besar tepung jagung sehingga doh tidak terlalu lembik.
5. Jika terlalu keras, boleh tambahkan sesudu perapi rambut

Resepi doh terapi 2 (Sentuhan)
1 cawan tepung
2 sudu besar  kekacang/rempah ratus pilihan
1/2 cawan garam
2 sudu kecil cream of tartar (penting untuk menjadikan tekstur doh menjadi)
1 sudu kecil minyak
1 cawan air
Pewarna makanan - ikut kesukaan

Caranya:
1. Campurkan kesemua bahan-bahan ke dalam periuk kecuali air dan minyak dan gaul rata.
2. Masukkan air dan minyak dan gaul sehingga sebati.
3. Masak menggunakan api kecil dan gaul tanpa henti selama 3- 5 minit sehingga adunan sukar digaul dan membentuk ketulan doh.
4.  Tutup api dan keluarkan. Biarkan sedikit suam dan teruskan menguli sehingga membentuk bebola doh.
5. Bahagikan doh kepada anak-anak dan masukkan kekacang/rempah ratus untuk terapi sentuhan.


Pesanan: Doh Terapi ini adalah doh buatan sendiri tanpa bahan pengawet. Oleh itu, penyimpanan doh yang baik perlu bagi memanjangkan tempoh kegunaan doh. Masukkan doh ke dalam plastik kedap udara, simpan doh di dalam bekas yang bersih dan masukkan ke dalam peti sejuk. Doh yang disimpan dengan baik boleh digunakan sehingga 6 bulan.


 Semoga bermanfaat: Sayang Teacher Mona June 2015




No comments:

Post a Comment