Sunday 29 November 2015

6 sebab muzik hebat untuk anak.


BAGAIMANA MUZIK MEMBANTU PERKEMBANGAN ANAK?  

Kanak-kanak dan muzik adalah gabungan semula jadi yang amat hebat. Kanak-kanak secara fitrahnya berminat dengan muzik. Dan mereka mudah belajar untuk memahami dan mengingati sesuatu apabila dimasukkan unsur muzik seperti nyanyian dan gerakan irama.

Tahukah anda apa kepentingan muzik kepada kanak-kanak?

1. Muzik adalah salah satu bahan bantu mengajar yang efektif untuk mengajar kosa kata baru atau satu perkara baru kepada kanak-kanak.

2. Elemen muzik yang berirama membantu otak kanak-kanak mudah mengingat sesuatu huruf, kata kunci, kosa kata atau ayat mudah.

3. Muzik membolehkan kanak-kanak menyampaikan perasaan dan emosinya dengan baik. Tidak semua kanak-kanak mampu menyatakan perasaan yang sedang dialami. Muzik mampu membantu anak menyatakan perasaan gembira, sedih, marah dan sebagainya.


4. Muzik selalu digunakan untuk meningkatkan kemahiran mendengar kanak-kanak. Contohnya, kanak-kanak belajar untuk mendengar dan memahami arahan, seterusnya boleh mengikut arahan yang diberi. 


5. Kanak-kanak diajar lagu “Mari mengemas @ Clean up time” sewaktu mengemas. Lagu ini mampu bertindak sebagai motivasi atau rangsangan kepada kanak-kanak untuk ceria mengemas.                                                                                                                                                                                                                                                               
6. Muzik boleh digunakan untuk melatih kreativiti dan imaginasi anak-anak. Anda boleh memasang muzik atau alunan zikir dan berikan anak ruang dan peluang untuk berkreatif dan berimaginasi. Pasti anda akan teruja melihat hasil kreativiti anak. Anak yang selalu diberi ruang meneroka dalam suasana ceria dan berirama mampu meningkatkan daya  kreativiti ke tahap tertinggi dan mereka matang dan mampu menyelesaikan cabaran dengan mudah. 

Selari dengan kata-kata pakar kanak-kanak, Rae Rica dalam artikel beliau tentang anak-anak, muzik dan kreativiti "When children can imagine, they can envision solutions to problems. They can imagine what it’s like to be someone or something else, which helps develop empathy. They can find answers to the question, “What if?"...".                                                               

Anak-anak yang diberi dorongan, ruang dan peluang untuk menikmati muzik dan kreativiti akan menjadi anak yang matang, mudah menyelesaikan cabaran dan sentiasa suka meneroka sehingga dewasa.


6 Tips memilih alat permainan terbaik untuk anak.

Bermain adalah pekerjaan serius anak-anak. Semasa anak-anak bermain mereka sebenarnya sedang menyelesaikan tugasan yang akan meningkatkan kemahiran berfikir, menguatkan dan meningkatkan kemahiran motor halus dan kasar, membantu mereka bersosial dan adab dalam berkawan.




Alat permainan adalah objek pembelajaran anak-anak yang penting.Mereka cepat dan mudah belajar apabila mereka boleh memegang, merasa, melihat dan mendengar alatan tersebut. 

Memilih alat permainan terbaik adalah penting supaya alatan tersebut mampu digunakan secara optimum dalam membantu anak mencapai tahap tertinggi dalam penerokaannya. Betapa peri pentingnya memilih permainan mengikut tahap keupayaan dan perkembangan anak-anak. Ini kerana setiap anak mempunyai tahap keupayaan yang berbeza. Mereka adalah unik dan berbeza. 


Permainan anak-anak terbahagi kepada beberapa jenis. 
1. Alatan permainan replika
2. Alatan permainan pendidikan
3. Alat permainan membina
4. Alat permainan motor kasar
5. Alat permainan berperaturan
6. Alat permainan untuk lakonan dan drama

Tips bagi menentukan permainan berkualiti dan terbaik untuk anak adalah: 

1. Bersesuai dengan objektif pembelajaran
- Sebelum membeli permainan, pastikan ada tahu apakah objektif yang anda ingin anak capai apabila bermain permainan tersebut. Ini penting bagi memastikan anak mendapat manfaat ketika bermain.Tambahan, kesesuaian dengan objektif membantu anak mengenalpasti apakah kemahiran yang ingin anda tingkatkan dan kukuhkan untuk anak-anak. 


2. Selamat untuk digunakan
- Memilih permainan adalah sepenting menyediakan persekitaran yang selamat untuk anak. Pastikan anda membaca label dan memastikan bahan-bahan yang disediakan adalah mesra anak. Mesra anak adalah permainan tidak mengandungi bahan beracun dan tidak terlalu kecil sehingga anak boleh menelan. Anak-anak suka merasa permainan mereka. Oleh itu, pastikan ianya selamat untuk mereka.



3. Tahan lama dan mudah diselenggarakan.
- Kualiti permainan juga perlu diletakkan keutamaan ketika membeli. Anda pasti mahu permainan yang dibeli boleh digunakan dalam jangka masa yang lama. Mudah disimpan dan digunakan semula juga penting bagi memudahkan anak bermain. 



4. Berbentuk menarik
- Permainan ini mampu menarik minat anak untuk terus bermain dengannya. Selain itu, ia mudah menceriakan anak-anak ketika bermain.


5. Sesuai dengan tahap dan perkembangan anak-anak
- Pastikan anda membaca penerangan pada kotak permainan atau boleh bertanya terus kepada penjual tentang tahap dan kesesuaian permainan dengan umur anak anda. 


6. Permainan yang kreatif, kritis dan inovatif. 
- Memilih permainan yang mampu meningkatkan kreativiti, imaginasi dan inovasi adalah salah satu ciri terpenting. Melatih anak sedari kecil yang sememangnya kreatif untuk bebas meneroka dan mengembangkan idea mereka dengan nyaman dan gembira adalah titik permulaan membentuk minda cerdas. Anak pasti teruja melihat anak mudah menyelesaikan banyak cabaran dan berfikiran matang. 

KidKraft

Menyediakan permainan yang terbaik dan selamat untuk anak adalah sepenting menyediakan persekitaan yang selamat dan bermakna untuk mereka. Menyediakan permainan terbaik untuk anak adalah pelaburan yang menguntungkan untuk anda dan anak.


~ Teacher Mona 2015~




Monday 2 November 2015

7 SEBAB ANAK SUKA KE TADIKA

Seronoknya apabila anak suka dan teruja ke tadika walaupun tidak sihat. Anak-anak yang suka ke tadika adalah anak-anak yang ceria, rasa disayangi dan dihargai. Mereka sentiasa tertunggu-tunggu hari persekolahan , suka bertanya bila waktu sekolah bermula, dan pandai bangun pagi sendiri tanpa perlu dikejutkan. 

Keceriaannya terserlah apabila sampai ke tadika dan disambut dengan wajah manis gurunya. Mereka terus mencari rakan, bermain, bergurau dan bercerita. Itulah gambaran anak-anak yang ceria dan seronok ke tadika.

Ada 7 sebab mengapa anak suka ke tadika

1. Guru
Guru adalah aset terpenting tadika. Mereka adalah pengerak acara dan aktiviti harian tadika. Guru yang ceria, sabar dan penyayang akan disukai dan disenangi anak-anak. Guru -guru ini rajin melayani anak, tidak melabel dan menerima mereka seadanya. Anak-anak punyai aura kasih sayang dan mereka kenal siapa guru penyayang dan siapa guru garang.

2. Suasana Tadika
Tadika yang bagus adalah tadika yang mengiktiraf perkembangan holistik anak-anak. Anak-anak mempunyai tenaga berlebihan yang perlu dilepaskan dengan cara yang menyeronokkan dan selamat. Susun atur tadika yang lapang dan selamat membolehkan anak-anak berlari dan melakukan aktiviti fizikal dengan baik. Izinkan anak-anak lelaki bergerak dan bermain. Rancanglah aktiviti bermain yang membolehkan mereka berlari, melompat, merangkak dan sebagainya. Otak anak-anak cerdas dan aktif apabila diberi peluang bergerak sewaktu belajar.

3. Pendekatan
Bermain sambil belajar dan berpusatkan murid adalah antara pendekatan yang sangat BERKESAN untuk kanak-kanak. Rancang setiap aktiviti pembelajaran anak-anak dengan menggunakan pendekataan-pendekatan ini. Anda akan lihat betapa ceria dan seronoknya anak-anak belajar dan meneroka.

4. Bahasa Cinta
Setiap anak adalah insan unik dan mempunyai kelebihan tersendiri. Mereka juga mempunyai bahasa cinta yang tertentu. Anak-anak yang diiktiraf bahasa cintanya adalah anak-anak yang bahagia. Mereka dapat merasai kasih sayang dan penghargaan diri apabila guru memahami bahasa cintanya.  Belajarlah memahami keunikan dan bahasa cinta anak-anak. Anda akan mengenali bahasa cinta anda selepas itu.

5. Program
Program tadika yang TERBAIK haruslah memenuhi keperluan dan  perkembangan holistik anak-anak. Program harus disusun dan disesuaikan dengan gaya pembelajaran anak-anak masa kini. Pengusaha perlu bijak memilih dan merancang aktiviti - aktiviti yang akan dilaksanakan di tadika setiap tahun.

Terdapat banyak program yang bagus dan berkesan yang boleh anda pilih.  Program  pilihan tadika saya adalah program pembelajaran dari Ameen Educare. Program Ameen Educare terbaik kerana ianya amat mudah, memenuhi gaya pembelajaran anak-anak zaman kini, memenuhi fitrah dan sangat berkesan. 

6.Rakan Tadika
Anak-anak tidak datang ke sekolah dengan pakej lengkap seperti sudah pandai berkawan, bertolak ansur, bermain bersama-sama. Ada dikalangan mereka memerlukan sokongan guru bagi memulakan persahabatan. Tiada kawan di tadika antara fakor anak malas ke sekolah. 

Berkawan dan kawan penting bagi anak-anak. Mereka perlukan kawan untuk bermain, berkongsi minat, bercerita dan sebagainya. Guru memainkan peranan yang amat penting bagi membentuk sahsiah dan kasih sayang di kalangan mereka. Ajari anak-anak untuk belajar berkawan, bertolak ansur dan mudah mengucap terima kasih dan maafkan saya.

7.  Raikan Anak-anak syurga
Hati anak-anak melonjak ceria hingga 1000 kilometer dan lebih apabila kehadiran mereka disambut dengan senyuman mesra, ucapan selamat datang dan diberi pelukan kasih sayang atau tepukan high five. Cuba bayangkan anda ke kedai untuk membeli sesuatu dan kehadiran anda diberi sambutan penghargaan dengan senyuman yang mesra, diberikan layanan  first class.  Tentunya anda rasa diri amat berharga sehingga dilayan sebegitu rupa. Betul tak? begitulah perasaan anak-anak.  

Pernah saya dengar keluhan seorang ibu menceritakan tentang anaknya yang tidak suka ke tadika A kerana guru hambar, kelat, pahit,  dan tidak mesra.  Guru tidak mengendahkannya sewaktu dia sampai di tadika. Tiada sambutan kasih sayang dan senyuman. Ini membuatkan rasa teruja ke sekolah terencat di awal pagi.


Semoga anda PILIH betul-betul tadika yang ingin anda sekolahkan anak. Usah pilih tadika bersandarkan jenama dan hanya tanya-tanya rakan sekerja. Luangkan masa dan lihat sendiri bagaimana sambutan dan keadaan tadika. Lihat dan amati gaya guru-gurunya menyambut dan melayani anak-anak lain. Umur kritikal 0 -6 tahun anak-anak hanya sekali seumur hidupnya. Usah biarkan mereka sengsara dan terbawa-bawa ke alam dewasa.



Thursday 8 October 2015

Mari bercerita : Kisah Si Musang Perang

Seekor musang perang sedang bersembunyi di sebalik pokok-pokok hijau yang rimbun. Matanya bersinar memandang ke arah seekor ayam yang sedang sibuk menguis mencari makanan. Cacing dan ulat berjaya dicari. Wah! seronoknya si ayam. 

Si musang perang tersenyum dan berkata-kata di dalam hati. "Ha, ha, ha... nampaknya si ayam sibuk mencari makanan. Tentu dia tidak tahu aku bersembunyi disini", gelak sembunyi si musang perang.

"Tapi.. aku tak mahu mengejutkan si ayam itu selepas percubaan semalam tidak berjaya. 
Ha!, mungkin aku perlu melompat dan menerkam si ayam?... oh tidak, nanti si ayam terkejut. 
Mungkin aku boleh ucap salam berkenalan dan memeluk si ayam dengan kuat..
Atau... aku keluar dari rimbunan pokok ini sambil menari-nari dan bila sudah dekat dengan si ayam. Aku akan menangkap si ayam. Sedapnya hidangan sarapan pagi aku. Ha, ha, ha,", angan si musang sambil tertawa kecil. 

Lamanya si musang berangan-angan. Akhirnya si musang tersedar si ayam sedang memerhati si musang sambil tersenyum.

Hei kawan! Apa yang sedang kamu fikirkan sambil tergelak-gelak tu?  Tentu kamu mahu melompat dan menerkam aku kan? Kata si ayam dengan kuat.

Si musang perang terkejut. Dia terus tertawa sambil berkata " Oh, tidak.. aku hanya mahu berkawan dengan kamu si ayam. Bolehkah kita berkawan!", jerit si musang sambil tersenyum ramah.Tetapi senyuman si musang perang hanya menakutkan si ayam kerana di sebalik senyuman itu... ada gigi- gigi yang tajam.

Si ayam mengeleng-gelengkan kepalanya dan terus berlari dengan lajunya. Si musang cuba mengejar si ayam tetapi tidak berjaya.Si musang menyesal kerana banyak berangan-angan.

Nota:
  • Berceritalah kepada anak-anak dengan menggunakan props seperti gambar, puppets, anak patung, dan sebagainya. 
  •  Lakukankan penceritaan dengan gaya, mimik muka, suara yang pelbagai dan ceria. 
  •  Anak- anak tentu suka mendengar cerita anda. Apabila anak boleh bertanya dan menjawab soalan tentang cerita. 
  • Anda telah berjaya melatih anak untuk fokus dan mendengar kata- kata anda. 
Jom bercerita! 

Mengapa anak WAJIB dengar cerita?

Alam cerita adalah alam yang paling menyeronokkan bagi kanak-kanak. Kanak-kanak suka mendengar kisah dan cerita dari ibu bapa atau gurunya. Kanak-kanak menerokai sesuatu yang baru dan mengukuhkan sesuatu yang telah ada di mindanya dengan cerita. Pemilihan cerita adalah penting kerana setiap cerita mempunyai kesan tertentu yang boleh mengubah tingkah laku atau kepercayaan seseorang.

Jika inginkan kanak-kanak berjiwa halus dan berkasih sayang, banyakkan bercerita kisah-kisah teladan seperti kisah nabi dan para sahabat. Cerita sebegini mampu menyuburkan emosi yang penuh dengan cinta dan kasih sayang. Selain itu, cara yang terbaik bagi menyuburkan semangat membaca di kalangan kanak-kanak ialah melalui cerita. Kanak-kanak akan meminta guru atau ibu bapa membacakan cerita yang sama berulang kali jika mereka menyukai cerita tersebut.

Tips dan teknik menarik minat anak mendengar cerita:
1. Pilih buku cerita yang sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak.
2. Kuasai jalan penceritaan supaya sesi bercerita dapat dijalankan dengan lancar.
3. Pilih kosa kata yang sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak.
4. Gunakan pelbagai nada suara ketika bercerita.
5. Bijak mengawal keadaan ketika sesi penceritaan dijalankan.
6. Tanyakan soalan di akhir cerita untuk uji kefahaman.

Ibu bapa atau guru harus bijak mengadun cerita dengan pelbagai intonasi suara, mimik muka dan mampu memainkan ekspresi muka ketika bercerita. Bahasa badan, intonasi suara dan mimik muka penting bagi menarik perhatian kanak-kanak untuk terus mendengar cerita. Aktiviti selepas sesi bercerita penting kerana ia mampu menguji sejauh mana kanak-kanak faham dengan cerita tersebut,

Oleh itu, kanak-kanak perlu didedahkan dengan cerita yang mempunyai kisah teladan dan kaya dengan kosa kata yang pelbagai dan sesuai dengan peringkat usia mereka. Kanak-kanak yang minat mendengar cerita akan menguasai salah satu kemahiran membaca yang terpenting iaitu kemahiran mendengar. 

Bukan mudah untuk menarik minat kanak-kanak untuk terus mendengar cerita dalam keadaan senyap dan penuh perhatian. Ini kerana kanak-kanak mempunyai daya fokus yang rendah dan tidak suka duduk di satu tempat dalam masa yang lama. 

Semoga tips di atas membantu ibu bapa atau guru untuk terus bercerita kepada kanak-kanak.

9 TIPS BANTU ANAK MINAT MEMBACA

“Mama…tolong bacakan saya cerita ini..”  


Anda seharusnya gembira apabila diminta oleh anak untuk dibacakan cerita. Ini adalah petanda awal yang bagus bahawa anak suka dan minat dengan buku. Minat ini perlu disokong dan dibantu agar berterusan sehingga dewasa.Jika mahu anak suka membaca dan bijak membaca bahan-bahan bacaan yang berkualiti, ibu bapa perlu berusaha mencari dan menyediakannya di rumah.

Mulakan dengan…
  1. Membacakan bahan-bahan bacaan berkualiti sebagai aktiviti rutin setiap hari.
  2. Meluangkan masa dalam 5 – 8 minit setiap hari dan bacakan untuk mereka sedari kecil. Contohnya, bedtime story with mama @ papa.
  3. Berhenti sebelum jemu. Anda tidak perlu menghabiskan cerita dalam satu hari. Jadikan penceritaan menarik dengan menyambung cerita pada keesokan hari agar anak sentiasa teruja untuk mengetahui apa yang berlaku selepas itu.
  4. Pilih gambar-gambar ilustrasi yang cantik dan sesuai untuk kanak-kanak. Ada banyak buku cerita kanak-kanak yang mempunyai lukisan ilustrasi yang terpilih sebagai pemenang anugerah lukisan terbaik. Lukisan yang cantik mampu memberi inspirasi kepada anak-anak untuk berkreatif.
  5. Pilih cerita yang sesuai mengikut usianya dengan laras bahasa yang mudah.
  6. Tingkatkan kosa kata anak dengan memilih buku-buku yang laras bahasanya yang sedikit mencabar.
  7. Anda boleh mengulang-ulang cerita dan selalulah bertanya kepada anak tentang cerita seperti:
    – Apakah nama haiwan yang berbelang itu?
    – Namakan 3 nama bunga yang ada dalam cerita?
    – Cuba sebut 4 warna yang ada pada gambar ini
  8. Bertanyakan soalan di akhir cerita akan membantu anak untuk lebih faham dan tahu dengan lebih jelas tentang cerita yang dibaca.
  9. Tak kenal maka tak cinta. Jadi kenalkan anak dengan penulis, pelukis dan tajuk buku yang dibaca. Ini akan membantu anak anda untuk mempunyai minat membaca di awal usia. 

 Semoga anak anda terus menjadi penggemar setia buku sehingga dewasa. Jom baca!

Thursday 1 October 2015

9 TIPS BUAT SI “PICKY EATER”

Ramai parents yang mengeluh setiap kali ditanya tentang pemakanan anak. "Saya sudah cuba bermacam-macam cara, bagi makan dalam pinggan cartoon kesukaan anak, minta anak pilih sendiri sayur yang mereka mahu cuba, nasihat, marah, umpan kalau makan sayur.. nanti mama belikan mainan dan macam-macam lagi. Tapi anak tetap tak mahu makan sayur", keluh parents yang ditanya.

Anak yang memilih makanan ataupun picky eater sememangnya menjadi dilema buat para ibu bapa. Anak hanya makan sesetengah jenis makanan dan enggan menyentuh makanan lain. Ditambah pula dengan pilihan makanan si manja yang hanya ke arah makanan yang kurang berkhasiat. Makin bertambah pening untuk melayan kerenah mereka ini.

Ibu bapa jangan risau. Hari ini saya akan berkongsi 8 tips bagi si picky eater:

1. Jom masak bersama mama
Bagi kanak-kanak yang sukar makan makanan-makanan sihat seperti sayuran dan buah-buahan, pastikan anda merancang jadual memasak dan menghias makanan bersama kanak-kanak. Kanak-kanak suka dan mudah makan hasil masakan mereka.

2. Terokai pasar raya.
Bawa kanak-kanak ke pasar raya sedari kecil dan perkenalkan mereka dengan pelbagai jenis sayuran. Izinkan mereka sentuh, bau, dengar dan rasa makanan tersebut walaupun dalam kadar sedikit.
3. Makan bersama
 Makan sayuran dan buah-buahan bersama anak-anak. Walaupun anda juga tidak makan sayur, demi untuk mendidik pemakanan sihat dan kesukaan pada makanan-makanan yang baik untuk tubuh dan otak, anda perlu makan sayur bersama anak-anak. Tunjukkan kepada mereka. Lama-kelamaaan anda akan lihat perubahan yang positif dalam pemakanan anak-anak dan anda.

4. Cuba resepi baru dan pelbagaikan juadah.
Kanak-kanak juga seperti anda. Mudah berasa jemu dengan makanan dan menu yang sama. Cubalah resepi baru dalam mempelbagaikan sayuran dan buah-buahan.
Contohnya, cubalah resepi baru seperti smoothies buahan atau sayuran, hummus buahan atau sayuran selain kacang kuda dan lain-lain.

5. Hias makanan
 Kreativiti menghias makanan membolehkan kanak-kanak belajar seni keindahan, warna dan bentuk secara seronok. Hias makanan berkhasiat supaya nampak lazat di mata anak. Pelbagai contoh food art boleh dijadikan panduan untuk menghias makanan.



6. Sedikit lama-lama jadi bukit. 
Izinkan anak-anak mencuba makanan berkhasiat seperti sayur, buah-buahan dan sebagainya dalam jumlah yang sangat sedikit. Tambahkan sedikit demi sedikit dan usah tergesa-gesa memaksa anak memakan makanan tersebut dalam kuantiti yang banyak. Biarlah sedikit asalkan anak-anak tidak terasa seperti dipaksa dan terpaksa untuk makan. Ini hanya akan menyebabkan anak stress pada waktu makan. Pengalaman mencuba makanan berkhasiat pada usia kecil akan membantu anak untuk suka dengan makanan tersebut pada dewasa kelak.

7. Bersabar  dan konsisten
Bersabar dengan kerenah anak dan istiqamah dalam meneruskan teknik dan tips untuk bantu anak suka dan pilih untuk makan makanan berkhasiat. Bersabar bukan satu perkara yang mudah tetapi tindakan anda untuk memilih sabar dan istiqamah dalam mendidik anak suka pada perkara baik akan membuahkan hasil yang anda sendiri akan terkejut dan teruja.

8. Rutin yang menyeronokkan
Apabila kita mahu merutinkan sesuatu yang baik seperti makan makanan berkhasiat. Kita perlu sentiasa menjadikan rutin itu satu yang menyeronokkan dan disukai oleh anak. Jadikan waktu makan adalah waktu paling bahagia, suasana yang ceria dan penuh dengan kasih sayang. Situasi ini akan membuatkan anak-anak ceria dan tertunggu-tunggu waktu makan.

9. Bahasa cinta dan motivasi
 Anak mempunyai bahasa cinta yang berbeza dan mereka lebih mudah mengikuti segala nasihat, tunjuk ajar kita dengan mudah apabila mereka merasai kasih sayang dari anda.Belajarlah bahasa cinta anak-anak agar mereka rasa segala nasihat dan tunjuk ajar anda adalah tanda kasih sayang anda kepada mereka. Ingat, setiap anak adalah unik dan berbeza cara dan bahasa cintanya.



 Selamat mencuba!

Sunday 27 September 2015

PERMAINAN KREATIF BAHASA

PERMAINAN KREATIF BAHASA BERSAMA TEACHER MONA 


Kemahiran pertama dan utama dalam bahasa yang perlu kanak-kanak kuasai adalah kemahiran mendengar. Kemahiran ini membantu kanak-kanak mengecam bunyi, nama-nama benda dan kosa kata baru yang akan dipelajari.

Semakin banyak kanak-kanak mendengar semakin banyak ruang dan peluang untuk kanak-kanak memahami sesuatu. Dan apabila kanak-kanak dibenarkan mencuba menggunakan kosa kata yang dipelajari, pelajaran itu menjadi menarik, berkesan dan bermakna untuk kanak-kanak


Jom cuba permainan kreatif bahasa ini!

Permainan :  Bunyi apa yang hilang?


Kelebihan permainan         
 1. Kanak-kanak boleh mengecam bunyi yang dipelajari.
 2. Kanak boleh meneka bunyi yang ditentukan.
 3. Kanak-kanak boleh mengecam bunyi awalan perkataan


BBM  : Objek-objek yang ditentukan, dulang,kain hitam/ beg kain.

Pelaksanaan                       :
  • Letakkan objek-objek yang ditentukan di dalam dulang
  • Jika anda mahu memperkenalkan objek yang bermula dengan bunyi /b/, letakkan objek seperti buku, bola, bentuk bulat, belon,bakul dan baju.
  •  Izinkan kanak-kanak melihat objek-objek tersebut dalam masa 2 minit sambil menyebut nama-nama objek tersebut berulang-ulang.
  • Tutup dulang tersebut dengan kain hitam/ masukkan objek ke dalam beg kain dan sembunyikan salah satu objek dan minta kanak-kanak teka objek apa yang hilang?
  • Jika kanak-kanak boleh menekanya, minta kanak-kanak meneka bunyi awalan objek tersebut.
Nota: Anda boleh mulakan permainan dengan meletakkan 3 hingga 4 objek dalam satu masa. Apabila kanak-kanak telah mula menguasai permainan, anda boleh menambah objek.Sebelum memulakan permainan, pastikan kanak-kanak telah membelajari bunyi awalan yang dipelajari.

Tips makanan sihat anak

Amalan 5 warna sayur  dan buah untuk sihat

Pemakanan sihat bermula dari bayi dan diteruskan sehingga usia kritikal iaitu usia prasekolah. Kanak-kanak yang dibiasakan dengan rutin menu sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari mudah untuk makan makanan tersebut tanpa paksaan.

Amalan pemakanan sihat dirumah berjaya apabila ibubapa berjaya menyediakan 5 jenis sayuran dan buah-buahan untuk dinikmati oleh anak-anak.


Pelbagaikan juadah dalam bentuk manisan sihat tanpa gula, snak petang potongan sayuran seperti lobak merah, timun,dan sebagainya, amalan memakan buah-buahan dahulu sebelum makan nasi dan hari makan ulam ulaman.

Lakukan aktiviti bertemakan menu sihat seperti:
1. Membuat jem buah-buahan tanpa pengawet
2. Masak snek petang bersama
3. Piknik sihat
4. Hari rasa ulam dan herba
5. Jom tanam herba/Ulam
6. Minggu membeli belah sayur-sayuran dan buah-buahan
7. Bedtime story bertemakan sayur-sayuran/buah buahan
8. Hari minum jus buah-buahan + sayur-sayuran
9. Lawatan ke kebun buah-buahan/ sayur-sayuran
10. Membaca sajak/ menyanyi lagu bertema sayur-sayuran dan buah-buahan

Antara sajak dari buku "Let's Learn about Healthy Eating" by Margaret Collins.

Five a day, five a day
Let's eat five a day
Vegetables, fruits, leaves, stems and roots


Eat to grow healthy
Eat to grow well
Eat for your body
to be sound as a bell.


Five a day, five a day
Let's eat five a day
Vegetables, fruits, leaves, stems and roots 


Lettuce, tomato, cucumber eat quite a few
These are the things that are good for you
cabbage and carrot eat quite a big
These will make you healthy and fit


 Amalan pemakanan sihat sukar dibentuk apabila anak-anak telah meningkat remaja. Oleh itu, lakukan sekarang sebelum terlambat. Pemakanan sihat anak-anak adalah tanggungjawab anda.

Semoga tips ini mampu memberi idea baru kepada para ibubapa yang ingin membiasakan rutin sihat kepada anak-anak anda.

Salam sayang : Teacher Mona June 2015

Tips Ajari Anakmu Mengikut Fitrahnya : Siri 2.0

Tips Ajari Anakmu Mengikut Fitrahnya:


Anak Lelaki

  • Secara puratanya mula berjalan lebih awal dari anak perempuan.
  • Mendengar lebih baik menggunakan telinga kanan.

  • Mata kiri adalah dominan berbanding mata kanan.

  • Belikan buku warna atau melukis gambar kenderaan, mesin dan robot

  • Sukakan permainan yang lasak

  • Gemarkan permainan blok dan pasang semula

  • Suka dipuji apabila melakukan sesuatu

  • Suka berlawan menunjukkan kekuatan

  • Suka mengawal supaya di anggap ketua.

  • Sesuai duduk di barisan depan kelas untuk lebih fokus


Anak Perempuan
  • Pada usia tiga tahun, 99% daripada ucapan difahami.
  • Lebih cepat membaca dan menulis berbanding lelaki.
  • Memproses maklumat lebih cepat berbanding lelaki.
  • Setiap topik perbincangan berkaitan dengan topik yang lain.
  • Study group sesuai untuk anak perempuan kerana ada perbincangan.
  • Taat kepada perintah dan arahan.
  • Suka berkomunikasi dan berbincang.
  • Suka di belai terutamanya oleh ibu bapa.
  •  Lebih cenderung kepada koordinasi berbanding kekuatan, seperti aktiviti melompat dengan tali, meloncat, dan mengimbangkan badan dengan satu kaki.

  • Perkembangan motor halus yang baik, terutamanya kemahiran halus menggunakan tangan.   

Semoga tips ini membantu anda memahami perbezaan anak lelaki dan perempuan dengan lebih baik.
 

Tips anak lelaki SUKA solat






Sukarkah mengajar anak mencintai solat? Cinta? Solat?
 

Anak sama seperti kita. Amat memerlukan pesanan kasih sayang dan peringatan tentang sesuatu yang wajib disegerakan.

Solat di awal waktu adalah salah satu tanda kita mencintai solat. Jika anak selalu melihat ibu bapa memelihara waktu solat dengan baik. Mereka juga akan sedar dan mahu mengikut contoh tersebut.

Jadikan waktu solat adalah keutamaan yang PERTAMA. Hormati waktu solat dimana sahaja kita berada. Hatta waktu lapang ataupun waktu sibuk.

Antara tips yang boleh kita lakukan untuk anak lelaki adalah

1. Jadikan mereka ketua bahagian solat
- Ketua bentang sejadah
- Ketua iqamat
- Ketua baca doa - walaupun doa yang ringkas

2. Berikan bintang solat kepada kanak-kanak  untuk dilekatkan pada carta ' Saya Bijak Solat': Bintang penuh diberikan kepada anak yang solat diawal waktu dengan sempurna

3. Selalu bawa mereka ke masjid dan surau untuk menikmati suasana solat berjemaah. (Beri 2 - 3 pesanan secara istiqomah sebelum anak dibawa ke surau atau masjid supaya mereka tahu adab ketika di surau atau masjid)

4. Jom solat - walaupun anak masih kecil dan tidak memahami kepentingan dan kewajipan solat. Ajak mereka menemani anda ketika solat.

5. Belikan persalinan solat lengkap. Jadikan waktu solat adalah waktu yang paling penting. Siap dengan persalinan khas dan wangian. Anak akan seronok untuk solat apabila mereka ada pakaian tertentu untuk solat.

Anak lelaki suka jadi ketua manakala anak perempuan fitrahnya adalah taat - suka dengar arahan dan mampu mengikut arahan.

Perbezaan inilah yang menjadikan mereka sangat indah dengan kekuatan dan kelebihan yang Allah anugerahkan.

Tips mudah ini boleh diamalkan bermula dari hari ini.

 Saya doakan anak-anak anda semua seronok solat dan semakin mencintai Islam.

 Selamat Mencuba!



Apa beza anak lelaki dan perempuan?

Perbezaan kanak-kanak lelaki dan perempuan siri 1.0

Jika anda mampu melihat apa yang ada di dalam kepala kanak-kanak lelaki dan perempuan. Tentu anda akan berasa takjub dan kagum dengan perbezaannya. Dan perbezaan ini amat ketara. Kajian terbaru yan dijalankan berkaitan dengan otak terdapat lebih 100 perbezaan dari segi struktur dan fungsi antara otak kanak-kanak lelaki dan perempuan.


Selain itu, kajian yang dijalankan oleh seorang pakar pengkaji otak, Laurie Allen dari UCLA telah menunjukkan ada beberapa perbezaan ketara antara otak kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan. Perbezaan pertama adalah saiz otak yang berbeza.

Saiz otak kanak-kanak lelaki lebih besar dari saiz otak kanak-kanak perempuan. Saiz otak kanak-kanak lelaki 10% lebih besar dari saiz otak kanak-kanak perempuan.Walaupun saiz otak kanak-kanak perempuan lebih kecil dari kanak-kanak lelaki. Kanak-kanak perempuan memiliki ‘corpus callosum’ yang lebih besar dari kanak-kanak lelaki. 


Corpus callosum (otak tengah) bertindak sebagai saraf penghubung antara otak kanan dan otak kiri. Ini bermaksud otak kanak-kanak perempuan lebih cepat membuat hubungan antara otak kanan dan otak kirinya. Disamping itu, corpus callosum yang besar memberi kelebihan kepada kanak-kanak perempuan dari segi keupayaan membaca dan menulis lebih tinggi berbanding kanak-kanak lelaki.

Otak kanak-kanak lelaki lebih besar dari kanak-kanak perempuan memberi kelebihan kepada kanak-kanak lelaki untuk fokus pada aktiviti berbentuk spatial(ruang). Ini bermaksud kanak-kanak lelaki bukan hanya gemar dan sesuai bermain dengan permainan blok. Mereka bijak mencipta sesuatu dengan permainan blok dan lego berbanding kanak-kanak perempuan.

Corpus callosum yang kecil pada kanak-kanak lelaki menyebabkan mereka agak lambat dari segi membaca dan menulis berbanding anak perempuan. Oleh itu, usah hairan dan hampa jika anak lelaki lambat dari segi pembacaan dan penulisan. 


Tambahan lagi, corpus callosum yang kecil pada anak lelaki menyebabkan anak lelaki kurang menunjukkan emosi atau agak sukar memahami emosi orang lain. Ini bukan bermakna kanak-kanak lelaki tidak mempunyai perasaan Cuma mereka sukar untuk memahami perasaan secepat kanak-kanak perempuan. 
 

Apabila kita memahami perbezaan antara anak lelaki dan perempuan melalui kejadian fitrahnya. Kita akan faham cara pembelajaran mereka. Maka, kita tidak akan mudah berasa hampa jika tahap membaca anak lambat, mereka sukar memahami arahan dan pelbagai lagi rencah kerenah.

Jika mahukan lebih perbezaan antara kanak-kanak perempuan dan lelaki. Ikutilah info perbezaan ini setiap hari Rabu. Selamat meneroka dan memahami perbezaan mereka.


Apa ada dalam kepala anak lelaki?

Your Children Powerful Affirmation!


Sometimes, we tend to forget that children need positive words, encouragement, and love languages from 'us' their parents. At times, we just take for granted and believe that our children are so strong and they do not need any encouragement.

Do you aware the power of words? Your words not only can change your children reality but also can create and shape their believe about life, how to deal with it and achieving their dreams.

What parents can help is let your children to have special gift every morning or every day in a special way. It is never too late to express this simple, easy massage to your children. The special gift is your words of affirmation. It is a great self affirmation and most rewarding habits that can make meaningful differences in their life.

You can choose your words of encouragement and make it as a routine. Read together before going to school and before bedtime (allow the positive thought to enter your child subconscious mind) or you can record and play it every morning while you are active preparing things for your kids to school.  Start the day every morning with great self affirmation words and you will see the difference.

~You have the power to speak words of faith and victory to your family and you must recognize the weight your words carry and the influence you have on these closest to you ~ Love your life by Victoria Osteen~
  
These are several positive words of affirmations for you. Feel free to use and share. ~Love Teacher Monalisa~